5 Bazar Ramadan Menarik Yang Wajib Dikunjungi di Malaysia

By CariCari Listings Mar 25, 2024 ( 5 months ago ) Festive Season


Umat Islam di Malaysia dijangka akan mula berpuasa pada 12 atau 13 Mac tahun ini. Sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat kita untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang dianjurkan di pelbagai lokasi sepanjang bulan Ramadan. Ini terutamanya bagi mereka yang sibuk berkerja dan tidak berkesempatan untuk memasak. Berikut merupakan lima bazar Ramadan popular di Malaysia yang pastinya menawarkan bermacam-macam jenis hidangan istimewa.

 

1.    Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur

Bagi mereka yang berada di Kuala Lumpur, bazar Ramadan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru merupakan antara bazar yang wajib dikunjungi kerana kepelbagaian dan keunikan juadah yang ditawarkan. Kedudukannya yang terletak di tengah ibu kota berdekatan dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), turut menjadi faktor popularitinya dalam kalangan warga Kuala Lumpur dan juga pelancong asing. Menariknya, peniaga di bazar yang telah berusia lebih 50 tahun ini kebanyakannya terdiri daripada mereka yang telah lama menjalankan perniagaan makanan dan minuman dan mempunyai gerai tetap atau restoran sendiri. Antara yang menjadi tumpuan pengunjung adalah bubur lambuk, martabak dengan pelbagai pilihan inti, nasi Arab dengan ayam dan kambing panggang golek, nasi ayam bakar dan kebab.

 

2.    Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Shah Alam

Bazar Ramadan Stadium Shah Alam merupakan bazar Ramadan yang terbesar di Shah Alam dengan jumlah gerai mencecah 400 buah dan panjang keseluruhan bazar 500m. Selain jumlah gerai yang banyak dan kepelbagaian pilihan juadah yang ditawarkan, bazar Ramadan ini juga terletak berdekatan dengan kemudahan parkir yang luas, menjadikannya pilihan utama bagi penduduk di kawasan berdekatan. Seperti kebanyakan bazar di Malaysia, juadah daripada negara-negara Timur Tengah dan Asia Selatan seperti nasi Arab mandhi, nasi Arab Darna, nasi beriani, kebab dan martabak menjadi pilihan ramai pengunjung. Selain itu, terdapat juga juadah unik yang jarang ditemui seperti ayam panggang madu tempayan, belangkas bakar, mee sotong Penang, sotong bakar bertelur dan nasi itik Hainan.

 

3.    Bazar Ramadan Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru

Bazar Ramadan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee ini merupakan bazar Ramadan tertua dan terpanjang di Johor Bahru. Ianya telah diadakan lebih 40 tahun dan ramai antara peniaganya terdiri daripada orang lama yang telah menjalankan perniagaan selama lebih 10 dan 20 tahun di situ. Ada antara mereka juga masih mengekalkan harga yang rendah bagi juadah yang ditawarkan. Antara yang popular adalah kunafa, roti daging Baghdad, nasi Arab maqluba dengan ayam dan kambing, ayam panggang golek serta nasi goreng kambing.

 

4.    Bazar Ramadan Gong Badak, Kuala Terengganu

Berbeza dengan kebanyakan bazar Ramadan di tempat lain, tapak gerai di bazar Ramadan di Kuala Terengganu ini disusun supaya pengunjung dapat berjalan di bawah khemah di sepanjang bazar. Walaupun laluan bazar menjadi agak sempit, keadaan ini memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana terlindung daripada panas terik matahari. Peniaga di sini juga ramai yang telah lama menjalankan perniagaan dan mempunyai pelanggan setia mereka sendiri. Terdapat pelbagai aneka nasi dengan bermacam-macam jenis lauk-pauk serta kuih-muih tradisional Terengganu ditawarkan seperti kuih nganang, ulat bulu dan akok. Juadah yang berasal dari negara-negara Timur Tengah seperti kebab dan shawarma dengan pelbagai pilihan protein turut menjadi pilihan pengunjung di samping hidangan unik seperti martabak sotong dan kerang.

 

5.     Bazar Ramadan Tenggiri, Seberang Jaya, Perai

Kemeriahan Bazar Ramadan Tenggiri di Seberang Jaya ini dapat dirasakan dengan kepelbagaian juadah yang ditawarkan peniaganya. Selain juadah kegemaran penduduk Pulau Pinang, terdapat juga peniaga yang mengetengahkan hidangan dari negeri-negeri lain seperti negeri-negeri Pantai Timur dan Utara yang lain. Antara yang unik dan mendapat sambutan ramai termasuk ayam panggang tempayan dan golek, laksa buyung, martabak daging kambing dan rusa, nasi ulam dengan ikan rebus dan asam pedas keladi serta roti John cheese.


Bazar Ramadan yang diadakan disepanjang bulan puasa sudah menjadi sebahagian daripada budaya Masyarakat Islam di negara ini. Hampir setiap kampung, kawasan penempatan atau bandar pastinya mempunyai bazar Ramadan yang dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat swasta, persatuan tertentu atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Walau bagaimanapun, lokasi bazar serta jumlah tapak gerai dan peniaga boleh berubah-ubah mengikut kelulusan PBT. Lokasi bazar Ramadan terkini bagi semua negeri kebiasaannya disiarkan di pelbagai portal berita tempatan beberapa minggu sebelum Ramadan bermula.

Selain bazar Ramadan, pelbagai restoran turut menawarkan bufet Ramadan atau set juadah berbuka bagi masyarakat Islam yang ingin berbuka puasa dengan pelbagai pilihan hidangan istimewa yang disediakan oleh tukang masak profesional yang berpengalaman. Walaupun disasarkan terutamanya kepada masyarakat beragama Islam, bufet dan set juadah berbuka ini juga mendapat sambutan baik daripada masyarakat bukan Islam yang tertarik dengan hidangan istimewa yang kebanyakannya hanya ditawarkan pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Anda merancang untuk berbuka puasa atau makan malam di luar di bulan Ramadan ini? Layari CariCari Listings dan pilih kategori Makanan dan Minuman (Food and Beverages) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai menu, tawaran atau promosi istimewa yang diberikan di sepanjang bulan Ramadan oleh pelbagai restoran di kawasan berdekatan anda.

Share :