Anda merancang untuk membawa keluarga bercuti semasa cuti perayaan Tahun Baru Cina ini? Berikut adalah lima tempat perlindungan dan taman haiwan yang menarik untuk anda kunjungi.
Entopia by Penang Butterfly Farm, Pulau Pinang
Entopia adalah salah satu taman haiwan invertebrata terbesar di Malaysia yang menempatkan lebih daripada 150 spesies haiwan invertebrata dan haiwan lain terutamanya rama-rama, kumbang dan labah-labah.
Di samping spesies haiwan, terdapat lebih daripada 200 spesies flora yang menghiasi sekitar taman. Terdapat juga ruang pameran dengan permainan interaktif di mana pengunjung dapat mempelajari lebih lanjut mengenai pelbagai spesies flora dan fauna.
Tiket dan maklumat lengkap boleh didapati di laman web rasmi Entopia.
KL Bird Park, Kuala Lumpur
KL Bird Park yang terletak di Taman Tasik Kuala Lumpur menempatkan lebih daripada 3,000 burung tempatan dan luar negara dengan kira-kira 200 spesies yang berlainan.
Salah satu keistimewaan taman burung ini adalah burung dapat terbang dengan bebas di dalam vivarium (di Zon 1, 2 dan 3) yang hampir menyerupai habitat semula jadi mereka.
Dengan konsep dan persekitaran yang unik ini, burung dapat berinteraksi sesama mereka dengan bebas dan membiak secara semula jadi.
Pengunjung juga dapat berinteraksi dengan lebih dekat dengan beberapa spesies burung besar dan kakak tua di Zon 4.
Maklumat lanjut termasuk waktu operasi, aktiviti yang ditawarkan dan tiket boleh didapati di laman web rasmi KL Bird Park.
Farm in the City, Selangor
Farm in the City merupakan sebuah taman haiwan yang berkonsepkan haiwan jinak (petting zoo) di mana pengunjung berpeluang untuk membelai dan memberi makan haiwan-haiwan yang diketengahkan.
Haiwan-haiwan tersebut juga tidak dikurung di dalam kandang dan boleh berkeliaran dengan bebas di sekitar taman yang dibina dengan tema kampung.
Selain haiwan, taman tersebut juga mempunyai kebun buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan. Setakat ini, terdapat lebih daripada 100 spesies haiwan eksotik termasuk dari Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan serta 60 jenis tumbuh-tumbuhan yang ditempatkan di taman tersebut.
Ini menjadikannya tempat yang sesuai untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada pelbagai spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan, di samping memupuk rasa sayang kepada haiwan dan alam semula jadi.
Layari laman web rasmi Farm in the City untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang
Pusat konservasi ini terletak kira-kira dua jam daripada Kuala Lumpur. Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung yang datang.
Walau bagaimanapun, pengunjung digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong bagi membolehkan mereka menikmati lawatan yang berinformasi.
Pengunjung juga boleh menyewa tempat penginapan berdekatan yang diusahakan oleh penduduk di situ.
Maklumat lanjut mengenai waktu lawatan dan aktiviti yang ditawarkan disiarkan di laman web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.
Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sabah
Pusat pemulihan orang utan ini ditubuhkan pada tahun 1964 untuk menempatkan anak-anak orang utan yang kehilangan ibunya dan masih memerlukan perlindungan untuk terus hidup.
Kedudukannya yang terletak di dalam Hutan Simpan Kabili-Sepilok, menjadikannya sesuai bagi mereka yang suka dengan aktiviti meredah hutan dan melihat burung.
Pengunjung akan berpeluang untuk melihat orang utan yang telah diselamatkan semasa sesi memberi makan yang dijadualkan pada 10:00 pagi dan 3:00 petang di platform tersedia. Sebagai alternatif, pengunjung juga boleh melihat orang utan dari luar pusat rehabilitasi tersebut.
Walau bagaimanapun, terdapat kemungkinan di mana orang utan tidak muncul semasa sesi memberi makan tersebut, Ini boleh terjadi terutamanya ketika musim buah kerana mereka bebas untuk mendapatkan makanan sendiri.
Waktu lawatan dan harga tiket boleh didapati di laman web Jabatan Hidupan Liar Sabah.
Pelbagai aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan bersama keluarga boleh didapati di halaman Hiburan dan Masa Lapang (Entertainment and Leisure) CariCari Listing. Anda boleh menghubungi terus penyedia perkhidmatan berkaitan melalui nombor yang disediakan.