Bulan Jun adalah antara bulan yang sesuai untuk bercuti dan melawat tempat-tempat menarik di Malaysia terutamanya dengan keadaan cuaca yang baik dan taburan hujan yang sedikit. Terdapat juga pelbagai festival dan acara besar yang dianjurkan di beberapa negeri seperti berikut:
1. Festival Gawai Dayak, Sarawak
Festival Gawai Dayak merupakan perayaan yang disambut bagi menandakan berakhirnya musim menuai padi dan masa bersama sebagai tanda kesyukuran kepada tuhan dan alam yang telah memberikan hasil tuaian yang baik. Ianya dirayakan oleh suku kaum Dayak di Sarawak selama beberapa hari bermula pada malam 31 Mei setiap tahun dengan pelbagai acara keagamaan. Persembahan tarian tradisional bagi menggambarkan kebahagiaan meraih hasil tuaian turut diadakan.
Persediaan untuk perayaan Gawai dimulakan dengan penyediaan tuak (arak beras) dan juadah tradisional seperti kuih penganan, kuih sarang semut, kuih chuan, pulut lulun (pulut kukus dalam buluh) dan banyak lagi. Pembersihkan rumah panjang juga dilakukan diikuti dengan merentangkan tikar baru di ruai (kawasan terbuka yang merentasi rumah panjang), serta menghias dinding dan meja dengan kain tenunan tradisional.
Festival Gawai Dayak, Sarawak (Photo by Sarawak Tourism Board)
2. Fraser's Hill International Bird Race 2024, Pahang
Fraser’s Hill International Bird Race (FHIBR) yang telah memasuki tahun ke 35 sejak ia diperkenalkan merupakan acara pengecaman burung yang tertua di Malaysia. Acara tahunan ini telah mendapat sambutan dari peminat burung dari serata dunia terutamanya kerana kepelbagaian spesies burung yang menetap dan bermigrasi di hutan hujan tropika negara ini. Dianggarkan terdapat hampir 800 spesies burung yang terdapat di Malaysia termasuk 63 spesies endemik dan 100 spesies berhijrah.
FHIBR pada tahun ini akan diadakan pada 7 hingga 9 Jun di Bukit Fraser, Pahang. Selain pertandingan pengecaman burung yang terbuka kepada dua kategori iaitu pakar dan novis, pertandingan fotografi burung turut diadakan dengan pelbagai hadiah menarik.
Fraser's Hill International Bird Race 2024, Pahang
3. Janda Baik Ultra 2024, Pahang
Janda Baik yang terlatak di Bentong, Pahang, merupakan antara tempat popular bagi peminat larian denai kerana keadaan cuacanya yang lebih sejuk berbanding tempat lain di samping bentuk muka buminya yang berbukit bukau dan pamandangan hutan tropika yang memukau.
Janda Baik Ultra yang dijadualkan pada 8 hingga 9 Jun tahun ini dibuka kepada lima kategori larian iaitu 100km solo dan berpasangan, 50km solo, 30km solo dan 14km solo. Mereka yang menamatkan larian akan membawa pulang trofi podium, medal, sijil, t-shirt acara dan penamat serta hadiah podium. Layari laman rasmi acara untuk maklumat lengkap.
Janda Baik Ultra 2024, Pahang
4. Festa De San Juan dan San Pedro, Melaka
Bulan Jun merupakan antara bulan yang meriah bagi masyarakat Portugis di Melaka dengan sambutan dua perayaan utama, iaitu Festa De San Juan dan San Pedro. Festa De San Juan yang turut dikenali sebagai pesta lampu, disambut pada 24 Jun bagi menghormati kelahiran John the Baptist dan permulaan musim panas.
Manakala, Festa San Pedro diadakan untuk memperingati Hari St Peter, iaitu penaung nelayan. Walaupun hari Rasmi Festa San Pedro ialah 29 Jun, perayaannya berlangsung selama seminggu sebelum itu. Kemuncak pesta bermula dengan Misa (upacara agama Roman Katolik) diikuti dengan perarakan kapal nelayan yang dihias sesuai dengan tema acara.
Festa De San Juan dan San Pedro, Melaka (Photo by Malay Mail)
5. Rainforest World Music Festival 2024, Sarawak
Rainforest Word Music Festival (RWMF) yang akan diadakan di Santubong, Sarawak selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Jun adalah salah satu acara muzikal terbesar di Malaysia. Acara tahunan yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) tersebut akan menampilkan 68 pemuzik antarabangsa daripada 15 negara dan 63 pemuzik Malaysia.
Ini termasuk Kitaro (Jepun), Zainal Abidin (Malaysia), Alena Murang (Malaysia), Havana Social Club, Alright Mela Meets Santoo (Pakistan dan Perancis), Bourbon Lassi (Australia), Imarhan (Algeria dan Perancis), Krakatau Ethno (Indonesia), Nini (Taiwan), Rhythm Rebels featuring Selonding Bali Aga (Indonesia), Rizal Hadi and Folk (Indonesia) dan Tribal Tide (Singapore). Tiket dijual dengan harga RM235 untuk pas sehari dan RM635 untuk pengalaman penuh tiga hari. Maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi festival.
Rainforest World Music Festival 2024, Sarawak
Anda merancang untuk bercuti bersama keluarga di bulan Jun ini? Pastikan anda membuat carian agensi pelancongan atau tempat penginapan di CariCari Listings.