Persiapan Penting Bagi Menyambut Tahun Baru Cina

By CariCari Listings Mar 25, 2024 ( 8 months ago ) Festive Season

Pelbagai barangan dan kelengkapan bagi tahun baru ditawarkan dalam talian.

Tahun Baru Cina yang menandakan permulaan tahun baru bagi kalendar lunar merupakan perayaan paling bermakna bagi masyarakat Cina.

Mengikut kepercayaan kaum Cina, adalah sangat penting bagi mereka untuk membuat persediaan yang betul sebelum melangkah ke tahun baru kerana ia akan menentukan nasib seseorang bagi tahun yang akan datang.

Dengan tahun baru Cina semakin hampir, inilah masanya untuk anda mula membuat persediaan sewajarnya.


1.  Membersihkan Rumah

Sebelum menyambut tahun baru, adalah menjadi tradisi masyarakat Cina untuk membersihkan rumah secara menyeluruh. Amalan ini yang kebiasaannya dimulakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum tahun baru, dipercayai dapat membebaskan seseorang daripada nasib malang yang berterusan.

Membersihkan rumah juga merupakan simbolik bahawa seseorang itu telah menyelesaikan segala urusan atau masalah yang dihadapi bagi membolehkannya memulakan kehidupan baru dengan baik dan menerima nasib yang baik.

Walau bagaimanapun, semua aktiviti pembersihan termasuk menyapu lantai perlu dihentikan pada hari pertama tahun baru kerana ini dipercayai akan membuang nasib baik bagi tahun itu.



2.  Menghias Rumah

Bagi mengoptimumkan Feng Syui yang baik, rumah perlulah dihiasi dengan tanglung dan sepanduk berwarna merah yang mengandungi kaligrafi Cina bagi menandakan kemakmuran tahun baru.

Kuplet tahun baru yang mengandungi ucapan selamat perlu juga dilekatkan pada kedua-dua daun pintu bersama dengan aksara bagi nasib baik (fook) yang digantung secara terbalik. Ini melambangkan nasib baik telah tiba di rumah anda.

Menghiasi rumah dengan tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan tertentu juga dipercayai boleh membawa tuah. Antara contoh tumbuhan popular adalah pokok duit-duit dan Lucky Bamboo.


 

3.  Membeli Pakaian Baru

Mengenakan pakaian baru di hari pertama tahun baru juga penting bagi melambangkan permulaan baru. Walau bagaimanapun, anda perlulah memilih pakaian yang berwarna terang dan yang sebaiknya adalah warna merah.

Ini kerana, warna-warna yang terang terutamanya warna merah melambangkan kemakmuran dan dipercayai dapat mengundang tuah dan kebahagiaan. Pakaian berwarna hitam dan putih yang kebiasaannya dipakai ketika berkabung perlu dielakkan.



4.  Menyediakan Jamuan Makan Malam dan Kuih Muih

Makan malam pada malam tahun baru Cina merupakan jamuan yang paling penting bagi sesebuah keluarga. Oleh itu, setiap ahli keluarga perlu balik ke kampung halaman untuk berkumpul bersama keluarga pada malam tahun baru, tidak kira di mana mereka berada.

Sekiranya ada ahli keluarga yang tidak dapat balik atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, tempat duduk mereka akan dibiarkan kosong dan satu set pinggan mangkuk akan disediakan untuk mereka.

Setiap hidangan yang disediakan termasuk kuih muih mestilah melambangkan kemakmuran, kebahagian dan keberuntungan samada dari segi nama dan rupa. Selain menjadi hidangan ketika jamuan makan malam tahun baru, kuih muih juga akan dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah sepanjang sambutan tahun baru diadakan.



5.  Menyediakan Angpau dan Hamper

Mengikut tradisi masyarakat Cina, orang tua dan mereka yang telah mendirikan rumah tangga perlu menyediakan angpau, iaitu bungkusan merah yang diisi dengan wang kertas baru, untuk diberikan kepada mereka yang lebih muda dan belum berkahwin di tahun baru.

Selain angpau, hamper juga merupakan satu bentuk pemberian popular yang kebiasaannya diberikan kepada rakan sekerja atau pelanggan. Ia biasanya mengandungi ubat-ubatan tradisional daripada herba, makanan ringan, buah-buahan, teh atau minuman beralkohol.


Anda merancang untuk melawat ahli keluarga atau rakan-rakan anda semasa tahun baru nanti? Dapatkan pelbagai hamper dan hadiah menarik untuk diberikan kepada mereka di Creative Hamper Supplies Network, Hamper World, Sunshine Hampers & Florist (j) Sdn. Bhd dan Ee Floral House.

Share :