5 Destinasi Pelancongan Tanah Tinggi di Malaysia untuk Anda Kunjungi

By CariCari Listings Jan 18, 2024 ( 11 months ago ) Travel

Dalam negara pun boleh rasa sejuk seperti di luar negara!

Malaysia ialah salah sebuah negara di Asia yang terkenal dengan tempat peranginan menarik. Ramai pelancong luar terutamanya dari negara empat musim gemar berkunjung ke Malaysia kerana faktor iklim serta kepelbagaian flora dan fauna yang ada di sini.


Terdapat beberapa lokasi percutian tempatan yang selalu menjadi perhatian pelawat domestik dan antarabangsa kerana suhunya yang dingin dan nyaman, sesuai untuk para pengunjung menikmati percutian menenangkan sambil ditemani pemandangan indah mempesona.

 

Jika anda teringin hendak merasai cuaca sejuk di kawasan pergunungan seolah-olah sedang bercuti di luar negara, ada beberapa tempat peranginan tanah tinggi yang boleh anda kunjungi bersama keluarga mahupun sahabat handai. Jom lihat lima lokasi pelancongan tanah tinggi di Malaysia pilihan kami!

 

1. Cameron Highlands, Pahang

Sebut sahaja Cameron Highlands, pasti terbayang ladang teh yang terbentang luas. Terdapat dua lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai tatkala berada di Cameron Highlands iaitu di sekitar Tanah Rata dan Brinchang. Kedua-dua kawasan ini banyak menawarkan tempat untuk bermalam seperti hotel dan rumah tumpangan. Pengunjung boleh memilih mana-mana penginapan yang sesuai dengan bajet.

 

Beraneka aktiviti menarik boleh dilakukan sepanjang berada di Cameron Highlands, contohnya bersiar-siar di ladang teh dan kebun bunga serta memetik buah strawberi segar di ladang.

 

Bagi yang menggemari aktiviti lasak pula, apa kata anda cabar diri untuk menjelajah keunikan Mossy Forest di Brinchang? Di sini, anda dapat melihat sendiri keindahan hutan lumut yang menjanjikan pengalaman paling bermakna!

 

Buat pengunjung yang mempunyai anak kecil, jangan ketinggalan untuk membawa mereka berhibur di taman tema mini Smurf Inn Fun Park. Pelbagai aktiviti menarik ada disediakan untuk si cilik.

 

Jika berkesempatan, boleh juga bawa anak-anak anda melawat kandang kambing biri-biri The Sheep Sanctuary. Terdapat kira-kira 20 ekor biri-biri yang diimport khas dari Australia. Selain bergambar, pengunjung turut diberi peluang untuk berinteraksi dan memberi makan biri-biri di sini.

 

Sebelum pulang, singgah sebentar di pasar Kea Farm dan pasar malam Golden Hills untuk membeli oleh-oleh seperti bunga-bungaan, sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua hasil jualan segar belaka dan berasal dari ladang serta kebun di sekitar Cameron Highlands. Harga yang ditawarkan juga boleh dikatakan sangat murah.

 

Penginapan pilihan CariCari: Andainya anda pergi ke Tanah Rata atau Brinchang dan bercadang untuk menyewa bilik ataupun banglo, Suria Cameron Hotel, Marvelous Garden Hotel, The Cool Point Hotel, Heaven Hill Hotel, Hotel Sentosa dan Hong Kong Hotel memang tidak asing lagi. Semuanya memiliki kelebihan tersendiri! Tidak kiralah sama ada anda melancong bersama keluarga besar anda atau backpacking dengan rakan-rakan, anda tentu puas hati dengan setiap jenis ruang penginapan dan kemudahan, termasuklah tempat makan seperti restoran dan kafe. Dengan kawasan yang amat strategik dan keadaan yang aman lagi selesa, momen yang tercipta semestinya akan sukar dilupakan.

 

2. Bukit Tinggi, Pahang

Sekali pandang, tempat ini seperti kawasan pelancongan di Eropah! Bukit Tinggi yang terletak di negeri Pahang merupakan lokasi percutian yang mesra keluarga dan juga destinasi bulan madu. Tarikan pelancong yang ada di sini dikenali sebagai Colmar Tropicale, Berjaya Hills. Ia diinspirasikan daripada Colmar, sebuah pekan lama di Alsace, Perancis.

 

Sekiranya anda gemar merakam foto percutian unik untuk dijadikan kenangan, Colmar Tropicale ialah tempat yang paling sesuai untuk anda bergambar sakan. Selain kecantikan pemandangan semula jadi, reka bentuk bangunan di sini benar-benar mirip dengan seni bina Perancis. Memang tidak rugi jika anda menginap semalam dua di sini.

 

The Chateau Spa & Organic Wellness Resort yang terletak berhampiran Colmar Tropicale pula menawarkan penginapan mewah dengan gaya dan suasana abad ke-12 kepada para pengunjung yang tidak lokek berbelanja demi percutian yang menyeronokkan.

 

Antara lokasi menarik lain yang boleh dikunjungi ialah kandang arnab, taman botani dan perkampungan Jepun. Orang ramai boleh menyewa kimono, pakaian tradisional Jepun untuk dipakai ketika bersiar mengelilingi taman di sini sambil menikmati secangkir teh hijau yang menyegarkan.

 

3. Kundasang, Sabah

“Macam berada di New Zealand!” Begitulah rata-rata ulasan pengunjung yang datang ke Kundasang. Terletak kira-kira 6 kilometer dari Taman Negara Kinabalu, Kundasang merupakan tempat peranginan di Malaysia yang berjaya menarik ramai pelancong saban tahun.


Tidak dinafikan, kawasan pergunungan ini sangat sejuk dan sering dilitupi kabus sehingga ada pengunjung yang perlu memakai beberapa lapis pakaian untuk memanaskan badan. Jangan terkejut kalau kebanyakan penginapan di Kundasang langsung tidak dilengkapi kipas mahupun penyaman udara.


Selain daripada tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang subur, Kundasang juga terkenal sebagai daerah yang banyak menghasilkan produk tenusu terbaik.


DESA Dairy Farm yang terletak di kaki Gunung Kinabalu ialah lokasi tumpuan pelancong. Ia menempatkan lembu-lembu ternakan daripada baka Holstein Friesian (bertompok hitam) yang diimport dari Australia dan New Zealand. Sebab itulah rupanya tidak sama seperti lembu-lembu yang biasa dilihat di Malaysia. Khabarnya, baka lembu ini memang sesuai untuk diternak di kawasan pergunungan yang bersuhu sejuk.


Sambil menikmati pemandangan yang berlatarkan gunung-ganang hijau serta bergambar dengan lembu-lembu ternakan yang dapat dilihat jelas dari luar kandang, pengunjung juga boleh bersantai sambil mencuba beberapa produk makanan dan minuman yang dihasilkan menggunakan tenusu segar DESA Dairy Farm, misalnya susu berperisa, yogurt, gelato, aneka keju dan banyak lagi.


Penginapan pilihan CariCari: Bagi anda yang mahu menghayati kedamaian inap desa atau homestay, Kinabalu Pine Resorts, D'villa dan Sulap sudah tersohor dalam kalangan pencinta alam. Di samping harga yang berpatutan, keistimewaannya terletak pada konsep kompleks penginapan desa yang luas dan lapang, menampilkan beberapa buah rumah pelbagai saiz yang dikelilingi persekitaran kampung yang tenang.


Kalau anda impikan akomodasi bertaraf hotel pula, Grandis Hotels & Resorts, Golden Hill (Sabah), Aeropod Hotel dan Trekkers Lodge, pasti menepati cita rasa anda. Banyak anugerah telah dimenangi, menjadikannya pilihan tepat buat pengunjung yang mementingkan keselesaan dan kemudahan serba lengkap semasa bercuti. Disebabkan kedudukan resort yang begitu hampir dengan Gunung Kinabalu, anda hanya perlu berada di beranda chalet anda untuk menyaksikan kehebatannya yang memukau dan menghirup udara segar dari pergunungan.



4. Bukit Fraser, Pahang

Bukit Fraser atau Fraser’s Hill merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa yang dahulunya sangat kaya dengan hasil perlombongan. Nama ‘Fraser’ itu sendiri diambil daripada nama Louis James Fraser yang berasal dari Britain. Beliau telah membangunkan pusat perdagangan bijih timah Pamah Lebar sekitar tahun 1890.


Jika berkunjung ke Bukit Fraser, jangan lepaskan peluang untuk mandi-manda di air terjun Jeriau yang letaknya hanya 4 kilometer dari pekan Fraser. Menariknya, kawasan air terjun ini dahulunya hanyalah anak sungai kecil dengan lata berbatu. Perubahan zaman telah menyebabkan hakisan tanah berlaku sehingga merubah landskap asalnya menjadi kawasan air terjun yang dapat dilihat sekarang.


Antara tempat menarik di Bukit Fraser ialah kebun orkid Sanyi, The Paddock yang menyediakan aktiviti menunggang kuda serta pusat pemerhatian burung atau Bird Interpretive Center yang membolehkan para pengunjung mengenali lebih 250 spesies burung liar.


Banyak burung liar dari Rusia, Jepun dan China akan bermigrasi secara sementara ke kawasan Bukit Fraser bagi mencari makanan dan berlindung daripada cuaca sejuk melampau di negara asal setiap kali musim sejuk tiba.


Sehingga kini, kebanyakan bangunan dan hotel di Bukit Fraser masih mengekalkan seni bina berciri kolonial yang pastinya menarik untuk dijadikan latar foto. Lazimnya, kebanyakan pengunjung akan balik hari tetapi andai kata anda merancang untuk tinggal lebih lama di Bukit Fraser, bolehlah menginap semalam dua di mana-mana hotel atau tempat menginap di sini.


5. Genting Highlands, Pahang

Genting Highlands bukan sahaja terkenal sebagai pusat taman tema terunggul tetapi turut digelar syurga membeli-belah. Genting Highlands Premium Outlets (GPO) menjadi pilihan pelancong yang ingin mendapatkan berbagai-bagai jenis barangan khususnya produk berjenama.


Untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan, boleh cuba naiki kereta kabel di Awana SkyWay. Kereta kabel ini membawa penumpang naik terus ke puncak Genting dalam masa 10 minit.


Terdapat tiga perhentian untuk menaikkan dan menurunkan penumpang iaitu stesen Awana SkyWay (stesen pertama), stesen kuil Chin Swee (stesen kedua) dan stesen puncak Genting (stesen terakhir). Stesen terakhir inilah yang menempatkan bermacam-macam restoran, hotel, kompleks membeli-belah dan taman tema seperti Genting SkyWorlds, SnowWorld, Skytropolis dan lain-lain.


Anda disarankan menginap sahaja di hotel yang ada di Genting Highlands, lebih-lebih lagi sekiranya anda mempunyai anak kecil. Dapatkan rehat yang secukupnya setelah sehari suntuk bermain di taman tema.


Antara penginapan yang disediakan oleh pihak pengurusan Resorts World Genting untuk kemudahan para pengunjung ialah Crockfords, Genting Grand, Highlands Hotel, Resort Hotel, Genting SkyWorlds Hotel, First World Hotel dan Resorts World Awana.


Daripada berbelanja lebih dan bercuti di luar negara semata-mata untuk merasai musim sejuk, lebih baik berkunjung ke tempat peranginan dalam negara yang turut menawarkan pengalaman sama. Setidak-tidaknya kita dapat membantu meningkatkan ekonomi Malaysia menerusi sektor pelancongan. Betul tak?


Berminat untuk jelajahi lebih banyak destinasi percutian menakjubkan di Malaysia? Layari CariCari Listings untuk maklumat tempat penginapan terkini!




Share :