Dari Wakaf Bharu ke Kuala Lumpur: Kembara Menaiki Kereta Api

By CariCari Listings Jul 1, 2024 ( 2 months ago ) Hotel & Accommodation

Pengalaman yang serba unik. Boleh cuba ni!

Malaysia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pengangkutan yang membolehkan kita melancong ke mana-mana saja. Walaupun industri pengangkutan udara pernah terjejas akibat wabak COVID-19, rakyat Malaysia masih mempunyai pilihan lain ketika itu seperti perkhidmatan bas dan kereta api untuk mengunjungi destinasi dalam negara.

 


Bagi peminat kereta api, pasti anda pernah terbayangkan pengembaraan ala cross-country merentasi Eropah, ataupun babak menarik dalam kereta api yang menuju ke Hogwarts seperti yang digambarkan dalam siri filem Harry Potter. Drama Korea popular Crash Landing on You juga meromantisasikan perjalanan kereta api dengan sketsa yang memang mencuit hati.

 

Kemudahan perkhidmatan kereta api di Malaysia boleh merealisasikan angan-angan sebegini dan memberi peluang kepada kita untuk menerokai keindahan tanah air bersama rakan-rakan dan keluarga. Ramai netizen terutamanya golongan pengguna media sosial telah menceritakan pengalaman mereka menggunakan khidmat Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang menghubungkan bandar seperti Wakaf Bharu atau Tumpat di Pantai Timur dengan pelbagai tempat di Pantai Barat termasuklah Kuala Lumpur.

 

Teruja nak ikuti jejak kembara mereka? Anda boleh membeli tiket KTM Intercity yang menawarkan kabin yang dilengkapi katil di sebelah tingkap. Kemudahan ini membolehkan para penumpang menikmati pemandangan dengan penuh selesa. Gunakan kesempatan yang ada untuk mengambil gambar kehijauan alam yang indah pada waktu subuh.

 

Kepada yang belum tahu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merupakan pengendali utama perkhidmatan kereta api di Semenanjung Malaysia. Sejarahnya bermula sejak era penjajahan British lagi. Pada zaman tersebut, laluan kereta api dibuka bagi mengangkut timah dan mineral lain dari lombong ke pelabuhan.

 

KTMB pada mulanya dikenali sebagai ‘Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu’ dan ‘Pentadbiran Keretapi Tanah Melayu’. Namanya diubah kepada versi yang dikenali sekarang pada tahun 1962 sebelum disyarikatkan pada tahun 1992. Syarikat ini kekal berdiri teguh dan telah banyak menabur bakti kepada rakyat Malaysia, dengan perkhidmatan di lebih 100 stesen di 10 negeri Semenanjung Malaysia dan rangkaian landasan kereta api sepanjang hampir 1,700 kilometer.

 

Setakat ini, KTMB belum lagi menyediakan pilihan perjalanan terus dari Tumpat (stesen terakhir) hingga ke KL Sentral. Jadi, anda disarankan membeli satu lagi tiket kereta api untuk perjalanan dari Gemas kerana lokasi tersebut menawarkan laluan pecahan untuk ke Kuala Lumpur.

 

Kereta api yang akhirnya akan membawa anda pulang ke ibu negara ialah Perkhidmatan Tren Elektrik atau ETS (Electric Train Service) yang merupakan perkhidmatan kereta api tolok meter yang bukan sahaja terpantas di Malaysia, malah di seluruh dunia!

 

Jika anda pernah menaiki ETS, anda tentu tahu betapa selesanya koc yang disediakan. Dengan adanya kafe dan surau, ETS sentiasa menjadi pilihan ramai — lebih-lebih lagi buat warga Negeri Sembilan dan Perak yang bekerja di Kuala Lumpur.

 

Suka kisah seperti ini? Rancang percutian anda dan terokai pelbagai pilihan penginapan di CariCari Listings hari ini juga!