ANNAJIHIN SETIA ALAM SDN BHD

Education

+60333597453

90-1,1,JALAN,SETIA GEMILANG U13/BJ,SETIA ALAM SEKSYEN U13 40170 Shah Alam, Selangor

https://azzahrawi.edu.my/ Follow Us :

Image

Description

"AZ-ZAHRAWI
KISAH SEBUAH IMPIAN DAN CITA-CITA PENDIDIKAN

1. Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi adalah sebuah inisiatif pendidikan persendirian yang menawarkan perkhidmatan persekolahan secara integrasi. Dibangunkan sepenuhnya dengan modal persendirian, berbekalkan dengan keazaman dan semangat yang tinggi untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak muslim.

2. Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi tekad mengupayakan tiga teras pendidikan impian kami iaitu melahirkan keunggulan diri khalifah, mementingkan kecemerlangan prestasi dan membangunkan ruang potensi diri. Semua rutin, sistem dan persekitaran institusi pendidikan kami disusun atur sebaiknya bagi mencapai maksud pendidikan impian tersebut.

3. Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi gigih melakukan pelbagai penambahbaikan secara berterusan, menghargai setiap kebaikan dalam diri pelajar dan membangunkan bakat-bakat mereka yang terpendam. Dengan tema ‘Melahirkan Generasi Pintar Soleh Yang Memakmurkan Dunia’, misi dan tanggungjawab ini dikongsi bersama para ibu-bapa yang amat prihatin dan berdedikasi.

4. Semua kisah pendidikan ini bermula apabila Ust Hj Mohd Hafiszi Bin Othman, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi, mula menjalankan tugasnya sebagai Ahli Lembaga Pengelola kepada Sekolah Rendah Islam An-Najihin Taman Sungai Kapar Indah (SRIN) sekitar 2006. Di sinilah tercetusnya hasrat awal kelahiran Az-Zahrawi. Terima kasih kepada kepimpinan SRIN di atas segala kepercayaan yang diberikan.

5. Penglibatan awal secara rasmi kami di dalam arena pendidikan swasta ialah ketika menjalankan Pusat Perkembangan Minda Genius Aulad (Setia Alam) pada 2011 sehingga 2015. Di sinilah semua pengalaman amalan tadbir urus bersistem dengan prosedur operasi yang teratur ditimba. Di sinilah juga Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi secara rasmi mula belajar menguruskan para pelajar, guru dan ibu-bapa. Alhamdulillah, banyak kejayaan pahit manis ketika kami berada bersama Genius Aulad yang mengajar kami erti ketabahan, kesabaran dan konsistensi. Terima kasih kepada pengurusan Genius Aulad atas peluang yang diberikan. Barakallahufik.





6. Bermula 2016, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi kemudiannya diberikan kepercayaan sekali lagi oleh SRIN untuk menguruskan Sekolah Rendah Islam An-Najihin Setia Alam dan Tadika Islam An-Najihin Setia Alam dengan menggunakan sistem pengurusan dan falsafah pendidikan kami sendiri. Alhamdulillah kepercayaan tersebut kami gunakan sebaik-baiknya. Sedikit demi sedikit nama An-Najihin Setia Alam mula dikenali ramai di Bandar Setia Alam dan kemudiannya menjadi antara pilihan utama pendidikan Islam swasta untuk masyarakat di sini. Haza min fadhli rabbi.

7. Di An-Najihin Setia Alam falsafah pendidikan, sistem, fasiliti, rutin dan persekitaran yang kami terapkan benar-benar diuji. Kami sentiasa belajar dan belajar lagi. Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi juga percaya dengan membangunkan bakat di kalangan guru dan staf juga, manfaatnya akan dapat dirasai di dalam pembelajaran dan pengajaran. Semua prosedur operasi diperkemas dan disistemkan. Pengurusan secara berpusat mula diperkenalkan bagi melancarkan lagi upaya dan kualiti penyampaian.

8. Pada 2018, An-Najihin Setia Alam telah memulakan operasi Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi Puncak Alam dan Prasekolah Permata Cilik Az-Zahrawi Puncak Alam. Inilah kali pertama nama ‘Az-Zahrawi’ digunakan secara rasmi di dalam tawaran pendidikan kami. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kepercayaan Koperasi Felda Bukit Cherakah Selangor Berhad kerana dengan dokongan kuat mereka Az-Zahrawi Puncak Alam menjadi tawaran pendidikan kami yang terkini dan terbaik pada waktu itu. Alhamdulillah syukur.

9. Dengan tawaran pendidikan terkini di Bandar Puncak Alam ini, tanggungjawab Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi semakin berat. Dengan pertambahan lebih ramai pelajar, ini bermakna bertambahlah juga guru-guru dan kakitangan kami. Sistem pengurusan berpusat diperkemaskan lagi. Upaya kepimpinan secara ‘decentralised’ diberikan kepada pusat-pusat dan guru besar setiap sekolah. Dengan ini sesuatu keputusan strategik menjadi lebih cepat dan lebih berkesan.

10. Pada Januari 2020, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi mula menawarkan perkhidmatan sokongan terkini kami iaitu Pusat Transit Titian Kasih Az-Zahrawi di Setia Alam dan Puncak Alam. Ianya melengkapkan lagi tawaran ekosistem sokongan pendidikan Az-Zahrawi yang ketika itu hanya menawarkan perkhidmatan pengangkutan rasmi sahaja.



11. Pada tahun 2020 juga semua tawaran pendidikan di bawah pengurusan Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi mula diselaraskan dengan penggunaan nama ‘Az-Zahrawi’. Halatuju Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi diperkukuhkan lagi dengan meletakkan niat untuk mula menawarkan perkhidmatan persekolahan menengah pada tahun 2021. Semua aturan dan kerja penubuhan telah dijalankan dengan intensif. Namun akibat pukulan pandemik, segalanya perlu disusun dan diatur semula.

12. Pada tahun 2022, sistem pengurusan dan pendidikan, rutin dan persekitaran kami telah disemak, dan diiktiraf sendiri oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor. Pengalaman manis buat kami, apabila kedua-dua buah sekolah kami di Az-Zahrawi Setia Alam dan Az-Zahrawi Puncak Alam telah terpilih menjadi wakil akhir bagi daerah masing-masing bagi kategori ini. Akhirnya pada 31 Mei 2022, Az-Zahrawi Puncak Alam telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Sekolah Rendah Islam Swasta Cemerlang, Peringkat Negeri Selangor. Alhamdulillah.

13. Dengan segala pengalaman dan kemahiran yang ada, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi menyusun semua keperluan bagi memastikan tawaran pendidikan menengah dapat ditawarkan bermula Mac 2023 ini. Alhamdulillah, sebuah kompleks pendidikan dengan fasiliti dan kemudahan yang terkini akan disiapkan bukan sahaja untuk sekolah menengah pertama kami, juga untuk sebuah lagi prasekolah integrasi dan sekolah rendah integrasi bagi keperluan masyarakat muslim setempat. Kali ini kami berada di Hillpark, Bandar Puncak Alam.

14. Perjalanan ini bagi kami adalah satu amanah. Selain dari menawarkan sistem persekolahan persendirian, Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi juga giat membangunkan modul-modul pembelajaran kami sendiri. Modul-modul dan buku-buku berjilid berkenaan juga turut digunakan di beberapa sekolah dan institusi lain di seluruh negara dan dikembangkan menjadi pelbagai modul latihan oleh pelbagai pihak.


15. Hari ini, ratusan pelajar kami amat serasi dengan sistem, rutin dan persekitaran berasaskan Kurikulum Pintar Soleh Az-Zahrawi (KPSA) yang amat mementingkan upaya kurikulum tersembunyi (hidden curriculum) yang dijalankan bersama-sama kurikulum formal KSPK, KSSR dan KSSM. KPSA diterapkan secara rasmi di dalam jadual dan rutin harian pelajar, aktiviti mingguan, bulanan dan tahunan, aktiviti ko-kurikulum, aktiviti usrah home room dan kejohanan sukan dan permainan. KPSA juga diterapkan sebagai salah satu kunci pencapaian para guru, staf dan bahagian-bahagian pengurusan di dalam Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi.

16. Kumpulan Pendidikan Az-Zahrawi dijangka akan menawarkan beberapa lagi tawaran perkhidmatan berkaitan pendidikan dalam tempoh lima tahun lagi. Impian kami jelas iaitu untuk menyebarluaskan lagi upaya pendidikan yang dapat melahirkan generasi pintar soleh yang memakmurkan dunia.

17. Kami ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat memberikan dokongan dan sokongan kuat kepada kami secara langsung mahupun tidak selama kami berada di dalam arena pendidikan swasta ini. Tiada lain yang lebih manis, dari dapat melihat anak-anak muslim kita, mempunyai kredibiliti yang tersendiri, akhlak yang tinggi dan keperibadian yang unggul.

18. Generasi Az-Zahrawi dilatih agar menjadi individu muslim yang beriman, pandai bekerjasama, prihatin, mempunyai upaya kepimpinan, berdikari, berdisiplin dan bertanggungjawab. Semoga semua ini menjadi sebahagian dari usaha kita bersama mencapai impian membina negara yang cemerlang dan diampuni (baldatun toyyibatun, wa rabb ghafur). Biznillah."

Image